Amalan Menghidupkan Malam Dan Pagi Eidilfitri

Beberapa Amalan Menghidupkan Malam, Pagi Raya Eidilfitri

Zaini Hashimi

Dalam beberapa hari lagi Ramadhan yang mulia akan melabuhkan tirainya yang menandakan berakhirnya kemuliaan bulan ini dan disusuli pula dengan kedatangan Hari Raya Eidilfitri, atau menurut bahasa Arabnya ialah Eidil Fitri yang bermaksud kembali kepada fitrah.

Ini kerana sepanjang sebulan di bulan Ramadhan, seseorang itu telah memenuhkan agenda bulan tersebut dengan pelaksanaan amal ibadat yang mampu menjadikannya sebagai hamba Allah yang terbaik seperti membaca dan bertadarus Al-Quran, bersolat jamaah sama ada solat-solat fardhu dan tarawih, bersedekah, beriktikaf dalam masjid, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa dan banyak lagi.

Seolah-olah amalan yang dilakukan itu menjadikannya bersih serta suci bagaikan anak-anak kecil yang baru dilahirkan oleh ibu-ibu mereka, inilah yang dikatakan kembali kepada fitrah, selagi mana seseorang tidak memelihara fitrah selepas Ramadhan, maka tidak mustahil fitrah dirinya terdedah kepada virus yang menjerumuskannya ke dalam lembah kehinaan.

Walau bagaimanapun kejayaan mentarbiahkan diri sebulan pada bulan Ramadhan dan berakhir dengan sambutan Eidilfitri, tidak disia-siakan kerana Allah SWT memuliakan mereka dengan hari raya seperti yang diungkapkan-Nya dalami Al-Quran yang bermaksud:

“Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid serta Takdis kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.” [Surah Al-Baqarah, 2:185]

Sesungguhnya umat Islam merayakan hari raya ini dengan penuh kesyukuran dan dengan pelbagai jenis amal bakti yang diredhai oleh Allah SWT, di antaranya solat Hari Raya, ziarah menziarahi di antara sesama mereka, bersedekah dan lain-lain lagi.

Kemuliaan Hari Raya

Kemuliaan Hari Eidil Fitri diterangkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan oleh Rasulullah SAW di dalam beberapa hadisnya.

Oleh itu umat Islam amat digalakkan untuk menghidupkan malam Hari Raya sama ada Hari Raya Puasa atau Hari Raya Korban.

Sehubungan dengan inilah Allah berfirman di dalam Al Quran yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangan (hari terakhir Ramadan 30 hari) dan kamu mengagungkan Allah (bertakbir raya) atas petunjuk-Nya yang dianugerahkan kepada kamu agar kamu menjadi orang-orang yang bersyukur.” [Surah Al-Baqarah, 2:185]

Kemuliaan Hari Raya juga diterangkan di dalam Hadis daripada Umamah R.A. maksudnya:  Nabi Muhammad SAW telah bersabda barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Eidilfitri dengan mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai matinya hati orang-orang yang kafir ingkar pada hari kiamat.

Daripada hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa Hari Raya satu perkara yang disyariatkan dalam Islam dan pada Hari Kiamat kelak orang-orang yang beriman dan beramal soleh hatinya hidup bahagia dan gembira kerana berjaya mendapat balasan yang baik dan keredaan Allah azzawajalla hasil daripada amal-amal kebajikan yang mereka kerjakan di dunia seperti berpuasa di bulan Ramadhan.

Sebaliknya orang yang kufur dan ingkar hatinya mati mereka hampa dan kecewa pada hari itu kerana dimurkai oleh Allah dan mereka ditimpa dengan seburuk-buruk balasan.

Terdapat juga hadis-hadis yang lain yang menceritakan tentang menghidupkan malam Hari Raya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tabrani RA yang bermaksud:

“Barang siapa menghayati malam Hari Raya Eidil Fitri dan malam Hari Raya Eidil Adha dengan amal ibadah sedang dia mengharapkan keredaan Allah semata-mata hatinya tidak akan mati seperti hati orang-orang kafir.”

Umat Islam digalakkan menyambut Hari Raya Eidil Fitri dengan tahmid sebagai bersyukur kepada Allah bersempena dengan hari yang mulia itu. Ini diterangkan di dalam Al-Quran dan juga di dalam hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT, maksudnya: Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa sebulan Ramadhan dan supaya kamu membesarkan Allah dengan Takbir dan Tahmid kerana kamu telah mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur.”

Daripada hadis pula sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. maksudnya:

Hiasilah Hari Raya kamu dengan Takbir dan Tahmid.

Di dalam hadis yang lain Rasulullah SAW bersabda daripada Anas R.A. maksudnya:

Hiasilah kedua-dua Hari Raya kamu iaitu Hari Raya Puasa dan juga Hari Raya Korban dengan Takbir, Tahmid dan Taqdis.

Ini bermakna, seseorang Muslim itu adalah digalakkan agar menghidupkan malam hari raya dengan amalan-amalan yang boleh mendekatkan dirinya kepada Allah bagi menjamin hatinya tidak akan mati pada hari kiamat.

Adalah lebih baik mengemas rumah, menjahit baju yang masih belum siap, menggosok pakaian raya untuk persiapan solat pagi raya bagi membesarkan Allah, menggantung langsir dengan niat mencantikkan rumah, kerana Allah suka kepada yang indah dan cantik, daripada menghabiskan sepanjang malam raya dengan menonton rancangan televisen, apatah lagi rancangan hiburan, filem, seloka Eidilfitri, mendengar lagu raya yang mengasyikkan, kerana tindakan itu sedikit sebanyak boleh menjejas pahala yang kita raih sepanjang bulan Ramadhan.

Aktiviti Pagi Raya

1. Eidilfitri digalakkan bersarapan terlebih dahulu.

2. Mengenakan pakaian raya yang baru (tapi ia bukan satu kemestian) serta berwangi-wangian bagi orang lelaki.

3. Bersegera pergi ke tempat solat, sama ada masjid, surau, dewan terbuka atau di tanah lapang, iaitu dengan melalui jalan lain dari jalan yang dilalui sebelum menunaikan solat.

4. Antara amalan yang patut dilakukan pada Hari Raya Eidilfitri ialah amalan berziarah. Amalan ini adalah bertepatan dengan suruhan agama Islam itu sendiri.

5. Pada pagi Hari Raya, umat Islam yang telah kehilangan saudara-mara akan mengunjungi pusara mereka dan menghadiahkan Surah Al-Fatihah atau bacaan surah Yaasin.

6. Kemudian mereka akan berkunjung ke rumah jiran tetangga, sanak saudara dan rakan taulan.

Ini kerana mereka akan bermaaf-maafan dan melupakan kesilapan yang lampau. Pada asasnya, Hari Raya adalah hari untuk bergembira, bermaaf-maafan, dan hari untuk mengeratkan tali persaudaraan di kalangan umat Islam di samping meraikan kejayaan beribadah kepada Allah.

7. Menceriakan suasana hari raya dengan memberi anak-anak sampul duit raya sebagai amalan ‘idkhal as-surur’ iaitu menggembirakan orang lain terutama kanak-kanak.

©Harakah

Fadilat Ibadat Pada Malam Eidilfitri

 

Ibn Abdullah

 

Eidilfitri Am-Mubarak adalah hari kebesaran penuh kemuliaan dalam Islam dihadiahkan kepada umat Nabi Muhammad SAW atas kejayaan melaksanakan Ibadat Puasa Ramadhan. Sesuai dengan kedudukan hari mulia, Eidilfitri hendaklah disambut orang Islam mengikut tuntutan syariat.

 

Sungguh jauh berbeza antara Eidilfitri disambut sebagai ibadat dengan yang berupa adat. Setiap ibadat adalah mengikut apa disyariatkan, sedangkan adat mengikut kebiasaan diamalkan sejak turun-temurun dalam masyarakat.

 

Islam menganjurkan apa yang perlu dilakukan ketika Eidilfitri seperti dijelaskan dalam Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

 

Sambutan Eidilfitri Al-Mubarak bermula sebaik berakhirnya ibadat puasa Ramadhan apabila kelihatan anak bulan Syawal.

 

Perkara utama perlu dizahirkan sebagai tanda bermula sambutan Eidilfitri ialah melaungkan gema takbir.

 

Firman Allah bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat puasa kamu mengikut bilangan hari dalam Ramadhan (29 atau 30 hari), serta bertakbirlah (membesarkan Allah) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

 

Amalan bertakbir daripada satu rumah ke satu rumah seperti diamalkan di sesetengah tempat memang baik. Selain mengucapkan kalimah kebesaran, dapat juga merapatkan silaturahim sesama penduduk.

 

Amalan itu hendaklah dilakukan dengan tertib dan ikhlas. Jangan hanya bertandang ke rumah tertentu dengan tujuan tertentu saja. Ada yang menyertai kumpulan takbir sekadar suka-suka dan berpeluang mengintai anak gadis.

 

Malam Eidilfitri adalah malam ibadat yang menyediakan kelebihan tersendiri. Berpandukan maksud hadis menjelaskan sesiapa beribadat pada dua malam hari raya iaitu Eidilfitri dan Eidiladha, maka hatinya tidak akan mati pada saat hati orang lain mati.

 

Banyak orang yang menyertainya Sembahyang Sunat Tasbih, Taubat dan Hajat yang diadakan di masjid. Amalan itu memang baik sekali untuk menghidupkan Malam Eidilfitri. Malang sekali banyak yang turut serta tanpa memahaminya.

 

Dikatakan ibadat itu hanya tertentu pada malam Eidilfitri. Individu yang tidak turut serta dipandang serong kerana dianggap tidak melakukan sesuatu yang wajib pada malam raya.

 

Pada pagi Eidilfitri disunatkan mandi seperti dilakukan Rasulullah SAW. Kemudian, disunatkan menghiasi diri dengan pakaian terbaik yang dimiliki, serta mengenakan wangian. Maksud pakaian terbaik bukan semestinya baru dibeli atau dijahit.

 

Bagaimanapun, di kalangan masyarakat kita berpegang kepada maksud baju baru. Sebab itu, semua orang mesti berpakaian baru dengan alasan itu tuntutan agama. Malah, mereka bukan membuat sepasang baju baru untuk dipakai pada hari raya, tetapi sampai empat atau lima pasang.

 

Sebelum turun ke rumah menuju masjid atau tempat lapang untuk menunaikan Sembahyang Sunat Eidilfitri, disunatkan juga menjamah sedikit makanan.

 

Anas RA telah berkata: “Nabi Muhammad SAW makan beberapa biji tamar sebelum keluar pada pagi Eidilfitri dan Baginda memakannya dalam bilangan ganjil.” Makan itu adalah tanda tidak berpuasa dan bersyukur dengan nikmat dianugerahkan Allah SWT. [Bukhari dan Ahmad]

 

Rasulullah SAW ketika menuju ke masjid menggunakan jalan lain dan ketika pulangnya pula melalui jalan lain. Melalui jalan berbeza adalah bertujuan supaya dapat bertemu dengan ramai jiran yang tinggal di sepanjang jalan itu. Ketika bertemu disunatkan mengucapkan salam dan tahniah.

 

Sembahyang sunat Eidilfitri hendaklah dilambatkan sedikit, sedangkan solat hari raya korban perlu disegerakan. Melewatkan Solat Eidilfitri bertujuan memberi masa bagi sesiapa belum mengeluarkan Zakat Fitrah. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum menunaikan Solat Eidilfitri.

 

Sebenarnya, sambutan hari raya hanya pada 1 Syawal. Pada 2 Syawal dan hari seterusnya sudah dibenarkan berpuasa ganti dan sunat. Bagaimanapun tidak dilarang untuk terus melakukan sambutan Eidilfitri selagi amalan itu tidak bertentangan syariat.

 

®BH

 

 

About Md Radzi Ahmad
A retired Malaysian civil servant. Served the Malaysian government for thirty-one years. Posted to London, Rangoon, Johannesburg, Pretoria and Bangkok. Born in Kampong Hutan Kandeh, Alor Star, Kedah. Educated at Sultan Abdul Hamid College, Alor Star and University of Malaya, Kuala Lumpur. Currently resides in Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan,Malaysia.Blessed with three children, a son, two daughters, daughter in law and two grandaughters.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: