Eidilfitri Adalah Suatu Ibadat.

Eidil Fitri adalah Hari Kemenangan ini adalah suatu ibadat dan ia tidak seharusnya diraikan semata-mata daripada lensa adat Melayu Islam saja. Perayaan ini mesti dilaksanakan berasaskan apa yang disyariatkan agama sama ada daripada aspek penyediaan perayaan, mahupun semasa merayakannya.

 Zainul Rijal Abu Bakar

Umat Islam seluruh dunia akan merayakan hari kemenangan iaitu Eidilfitri selepas sebulan berlapar dahaga serta mengekang hawa nafsu dalam bulan Ramadhan Al-Mubarak. Umat Islam merayakan kejayaan ini dengan gilang gemilang sambil mengharapkan keredaan Allah SWT.

Hari kemenangan ini adalah suatu ibadat dan ia tidak seharusnya diraikan semata-mata daripada lensa adat Melayu Islam saja. Perayaan ini mesti dilaksanakan berasaskan apa yang disyariatkan agama sama ada daripada aspek penyediaan perayaan, mahupun semasa merayakannya.

Sering kali umat Islam tersasar daripada landasan sebenar ketika merayakan hari kemenangan itu.

Eidilfitri mengajak umat Islam kembali kepada fitrah manusia selepas sebulan menjalani latihan. Fitrah yang manakah akan kita ikuti?

Adakah kembali sebagaimana sebelum Ramadhan di mana manusia begitu rakus, tamak haloba dan tidak mengawal hawa nafsu atau fitrah semula jadi yang luhur, suci bersih hasil didikan sebulan Ramadhan.

Sering juga berlaku dalam kegelojohan menyambut Eidilfitri, kita bagaikan alpa bahawa bulan keberkatan ini akan meninggalkan kita. Adakah pada tahun depan kita masih berkesempatan menemui Ramadhan atau Ramadhan tahun ini adalah yang terakhir buat kita.

Amatlah rugi bagi mereka yang memilih untuk kembali kepada keadaan negatif seperti sebelum Ramadhan. Tiada nilai atau kesan latihan Ramadhan selama sebulan sedangkan Allah dan Rasul-Nya sudah menjanjikan kebaikan bagi mereka yang menghidupkan Ramadhan.

Beruntung pula mereka yang kembali kepada fitrah asal kejadian selepas munculnya Syawwal. Mereka inilah orang yang benar-benar mendapat kejayaan kerana mereka seolah-olah dilahirkan semula dan bersih daripada dosa.

Mereka menjaga puasa, tidak hanya berlapar dahaga sepanjang Ramadhan malah, menjaga tatasusila dan falsafah puasa itu sendiri. Setiap anggota yang dikurniakan Allah SWT dijaga dan dihindari daripada melakukan maksiat.

Pada saat menyambut Eidilfitri, mereka tidak boros berbelanja mengikut nafsu, tetapi menyediakan sekadar diperlukan. Mereka tidak berlumba-lumba menukar serba serbi peralatan baru walaupun Islam tidak menghalang kita memakai pakaian dan kelengkapan baru. Piawaian dikenakan ialah tidak ada pemborosan dan pembaziran dilakukan ketika menyambut Eidilfitri.

Kita juga mestilah membezakan Eidilfitri antara adat dan ibadat kerana Eidilfitri adalah suatu ibadat. Oleh itu, kita tidak harus alpa daripada melakukan ibadat seperti bersembahyang hari raya serta mengeluarkan zakat.

Ibadat di sini tidak harus ditafsirkan dalam erti kata yang lebih luas. Ibadat pada Eidilfitri termasuk menjaga silaturahim dengan bermaaf-maafan, kunjung-mengunjungi serta mengingati orang yang sudah meninggalkan kita.

Dalam meraikan Eidilfitri, segala bentuk maksiat hendaklah dihindari kerana ia boleh mencemar nilai suatu ibadat. Ibadat tidak boleh dicampuradukkan dengan maksiat. Golongan melakukan maksiat ketika Eidilfitri adalah golongan yang hanya menganggap Eidilfitri itu suatu adat saja.

Amatlah malang bagi golongan yang terkinja-kinja dan program-program yang meraikan kemenangan pada Eidilfitri sedangkan Allah SWT murka dengan apa yang dilakukan mereka. Marilah kita mengambil kesempatan kali ini untuk kembali kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dalam merayakan Eidilfitri. Jangan lupa kewajipan ketika menyambut hari kebesaran ini dan sambutlah ia dengan penuh kesederhanaan selaras tuntutan hukum syarak.

Ketika meraikan hari kebesaran ini, jangan tinggalkan ibu bapa yang sudah berjasa kepada kita. Kembali ke kampung adalah satu tanda penghormatan dan kasih sayang anak kepada kedua orang tua.

Dalam perjalanan ke kampung halaman masing-masing, jangan pula kita ghairah sehingga membelakangkan keselamatan diri dan keluarga terutama ketika berada di atas jalan raya. Mempertahan dan melindungi nyawa sama ada nyawa sendiri atau nyawa orang lain adalah salah satu daripada matlamat syariah atau Al-Maqasid Al-Syariah yang dituntut ke atas seluruh umat Islam.

Mematuhi peraturan lalu lintas seperti ditetapkan kerajaan sebenarnya adalah suatu ibadat selagi mana ia disulami dengan niat ikhlas dan suci. Apalah gunanya kita merayakan hari kemenangan dalam keadaan sedih akibat kehilangan orang yang tersayang.

Sekali lagi ruangan ini menyarankan supaya setiap tindakan hendaklah dilakukan berlandaskan hukum syarak. Perayaan Eidilfitri mempunyai kesan besar kepada umat Islam secara keseluruhan jika falsafah dan ertinya difahami umat Islam.

Marilah kita merayakan Eidilfitri dengan penuh keinsafan dan kesucian, menyemarakkan semangat cinta kepada agama dan membesarkan Allah SWT serta menghindar daripada menyekutukan Allah SWT. Tinggalkan segala maksiat yang sering kita lakukan semasa Eidilfitri lalu dan berusaha menjadikan Eidilfitri ini yang terbaik dan diberkati Allah SWT.

Mudah-mudahan tatkala kita pulang ke rumah masing-masing kelak, kita menjadi pemangkin kepada perubahan dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara. Dengan adanya perubahan ini, umat Islam akan lebih disegani, menjadi teladan kepada semua orang Islam atau bukan Islam. Dengan cara ini umat Islam akan menjadi umat maju di samping mengabadikan agama di dalam hidup mereka.

________________________________________________________________________________________________________

Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM).

® BH

 

Persiapan Menyambut Aidilfitri              

Dengan berakhirnya Ramadhan ini, kita akan meraikan kedatangan bulan Syawwal. Sudah tentu kita selaku umat Islam merasa gembira dengan kedatangannya, dalam masa yang sama, kita merasa sedih untuk meninggalkan ramadhan yang penuh rahmat dan keberkatan ini.

Pada masa ini tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian besar dikalangan kita telah pun membuat pelbagai persiapan untuk membuat kedatangan aidilfitri yang mulia, antaranya dengan menyediakan pelbagai keperluan rumah seperti pakaian,makanan dan lain-lain.Semua ini adalah semata-mata untuk meraikan Eidilfitri dalam suasana gembira.

Dalam masa yang sama, perlu diingat dalam kesibukkan kita membuat persiapan bagi menyambut Eidilfitri, janganlah kita lali dan alpa tentang kewajipan yang perlu dilaksanakan iaitu membayar zakat fitrah selewat-lewatnya sebelum solat aidilfitri.Kewajipan itu adalah merupakan pelengkap ibadat puasa kita dan juga sebagai penutup kecacatan-kecacatan yang berlaku dalam kita mengerjakan ibadat puasa.

Dalam kita sibuk membuat persiapan Eidilfitri ini, perlulah diamalkan sifat kesederhanaan dan tidak bermegah-megah sehingga membawa kepada sifat riak dan pembaziran. Allah SWT telah memberi peringatan kepada kita bahawa orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan. Firman Allah SWT:

“Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.”(Al-Isra’ ayat 26-27)

Sebenarnya, kita menyambut Eidilfitri adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan bagi mereka yang telah berjaya menjalani ibadat puasa dengan penuh keimanan dan ketakwaan.Dalam hal ini, Islam menggariskan panduan tentang bagaimana cara meraikan aidilfitri agar semua perkara yang dilakukan itu tetap menjadi ibadat.

Hakikatnya menyambut hari raya ialah untuk meraikan kejayaan dan kemenangan kita dimedan perjuangan melawan hawa nafsu, membaharui azam, mengukuhkan silaturrahim antara sesama Muslim dengan mensyukuri nikmat dan petunjuk Allah SWT. Dalam kita menyambut malam raya pertama, kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah SWT, melaungkan kalimah-kalimah takbir.

Disamping itu, kita terus menerus menghidupkannya dengan memperbanyakkan do’a, zikir dan sebagainya. Sabda Rasulullah SAW:

“Sesiapa yang menghidupkan malam hari raya fitrah dan adha dengan ikhlas kerana Allah SWT tidak akan mati hatinya sebagaimana hari dimatikan hati-hati”. (Ibnu Majah)

Oleh itu, janganlah kita meraikan malam Eidilfitri ini dengan sebaliknya seperti hiburan yang melalaikan,merempit,membakar meracun dan sebagainya. Perlulah diingatkan bahawa ada beberapa amalan sunat yang perlu dilakukan pada pagi hari raya seperti mandi sunat Eidilfitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. Disamping itu, kita disunatkan memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dan sebagainya.

Kita juga disunatkan menjamah sedikit makanan sebelum kemasjid bagi menunaikan solat aidilfitri, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Dari Anas ia berkata: Rasulullah SAW tidak keluar pada waktu pagi hari raya fitrah sehingga ia makan terlebih dahulu beberapa biji kurma. Seterusnya anas menceritakan bahawa baginda memakan kurma itu dalam bilangan ganjil”. [Al-Bukhari]

Manakala perkara paling penting dan utama daripada perkara-perkara sunat yang lain dalam kita menyambut Eidilfitri ialah menunaikan Solat Sunat Eidilfitri. Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Dari Al-Barra’ ia berkata: Aku mendengar Nabi SAW berkhutbah, sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang”. (Al-Bukhari)

Telah menjadi kelaziman yang diamalkan oleh masyarakat kita, bagi memeriahkan suasana hari raya adalah dengan ziarah menziarahi, kunjung mengunjungi kaum keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai semata-mata memohon kemaafan demi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.

Bagi mereka yang berhasrat untuk pulang kekampung dan berhasrat merancang perjalanan yang jauh, berhati-hati dan bersopan-santun dijalan raya. Sesungguhnya perbuatan tersebut juga merupakan satu ibadat.

Perlu diingatkan, dalam suasan menyambut Eidilfitri, batas-batas pergaulan hendaklah dipelihara dan jangan dicemari dengan perkara-perkara maksiat dan perbuatan yang bertentangan dengan hukum syarak seperti pergaulan bebas, bersalaman dengan bukan muhrim, memakai pakaian yang mendedahkan aurat, menjolok mata dan sebagainya.

Dalam suasana kegembiraan dan kemeriahan kita menyambut hari raya yang bakal menjelang tiba, kita juga tidak boleh melupakan kepada mereka yang kurang bernasib baik, yang hidup susah dan menderita disebabkan kemiskinan dan musibah menimpa mereka.

Kita sebagai manusia yang mempunyai hati dan perasaan, sudah tentu merasa tersentuh akan segala keperitan dan kesengsaraan yang dihadapan dan ditangguh oleh merela yang ditimpa musibah itu. Dalam keadaan dimana mereka memerlukan bantuan untuk pemulihan kehidupan mereka, terutama sekali anak-anak yatim.

Inilah masanya yang sesuai jika kita ingin memberi bantuan dan pertolongan kepada mereka yang kurang bernasib baik dengan menghulurkan sedikit bantuan.Walaupun sedikit yang kita hulurkan itu, tetapi ia membawa pengertian yang cukup besar dan amat bermakna bagi mereka yang mengalami penderitaan,apatahlagi jika sumbangan itu disertai dengan niat ikhlas kerana Allah SWT.

Dikesempatan penghujung ramadhan ini, marilah kita sama-sama berusaha menggunakan peluang yang ada untuk lebih mempertingkatkan lagi ibadat kepada Allah SWT.

Marilah kita sama-sama meraikan hari kemenangan Eidilfitri yang akan menjelang tiba ini dengan mentaati apa yang telah digariskan oleh agama islam. Mudah-mudahan segala amal ibadat yang kita kerjakan selama ini diterima oleh Allah SWT dan mudah-mudahan kita semua beroleh keberkatan, rahmat dan keampunan dari Allah SWT. Firman Allah SWT:

“Dan segeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapatkan keampunan dari tuhan kamu dan mendapat syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang.Dan ingatlah, Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik”. (Ali-‘Imran ayat 133-134)

________________________________________________________________________________________________________

Sedutan Khutbah Jumaat, Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya 5 OKTOBER 2007

®Jais

About Md Radzi Ahmad
A retired Malaysian civil servant. Served the Malaysian government for thirty-one years. Posted to London, Rangoon, Johannesburg, Pretoria and Bangkok. Born in Kampong Hutan Kandeh, Alor Star, Kedah. Educated at Sultan Abdul Hamid College, Alor Star and University of Malaya, Kuala Lumpur. Currently resides in Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan,Malaysia.Blessed with three children, a son, two daughters, daughter in law and two grandaughters.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: