Haram Menyambut Hari Valentine

Haram Menyambut Hari Valentine

Dengan  Nama Allāh, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani;
Segala Pujian dan  Kesyukuran hanya kepada Allāh; Selawat dan Salam keatas Muhammad Rasullullah.

 

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan juga Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor telah memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day adalah haram kerana tidak pernah dianjurkan oIeh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya juga bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oIeh Islam.

Hari Kekasih juga digelar sebagai: “Valentine ‘s Day” yang disambut pada 14 Februari setiap tahun adalah sambutan yang dinanti-nantikan kebanyakan remaja bagi menyatakan rasa kasih sayang antara satu sama lain.  Ia disambut dengan pelbagai cara dan acara bermula dengan kiriman kad dan bunga hingga parti tari-menari. Malah ada yang menyambutnya dengan pertemuan dan berakhir dengan perzinaan demi membuktikan cinta dan kasih sayang mereka.  Jelas dan nyata sekali bahawa sambutan ini bukan dari ajaran Islam yang suci, malah melanggar syariat dan bertentangan dengan tatasusila fitrah murni manusia.

Meskipun begitu, tidak dinafikan terdapat di kalangan remaja dan pasangan Islam di negara ini, turut meraikan “Hari Valentine” ini. Mereka meraikannya kerana ingin bersukaria dan terikut-ikut dengan budaya ini tanpa mengetahui sejarahnya.

Berdasarkan penerangan di atas, jelaslah bahawa tidak ada istilah “Hari Kekasih” atau “Hari Valentine” dalam Islam.  Justeru, orang Islam tidak boleh menyambutnya, menyertainya dan merayakannya. Islam memang menggalakkan umatnya supaya berkasih sayang antara satu sama lain, tetapi untuk meluahkan kasih sayang antara seorang lelaki dan perempuan yang bukan mahram perlu melalui saluran yang dibenarkan oIeh syarak. Bukan dengan jalan yang mendorong atau merangsang kepada kemungkaran dan maksiat.

Islam adalah Agama Fitrah yang praktikal, bukan menyekat kebebasan tanpa sebab dan bukan membiarkan umatnya bebas tanpa pedoman. Islam adalah agama yang mengatur kehidupan dengan lebih sempurna untuk umatnya. Islam tidak pernah menyekat hubungan kasih sayang antara umatnya. Malah terlalu banyak ayat Al-Quran dan Hadith menyatakan hikmah berkasih sayang.

Firman Allah  :

“Dan Dialah yang menjadikan hati mereka mesra antara satu sama lain. Seandainya engkau membelanjakan segala (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak akan dapat menautkan kemesraan antara hati mereka, tetapi Allah telah membibitkan kemesraan antara  (hati)  mereka.  Sesungguhnya Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana”.

[Surah Al-Anfal, 8: 63]

Sumber Catholic Encyclopedia menjelaskan bahawa Valentine adalah nama seorang paderi Kristian yang giat menyebarkan agama itu di Rome sehingga dia ditangkap dan diseksa dalam penjara. Selama dipenjara, ia tetap mengajar dan menyebarkan agama itu di kalangan banduan dan membantu tawanan melepaskan diri dari penjara. Dikatakan juga bahawa ketika dalam penjara, dia jatuh cinta dengan gadis, anak salah seorang Pegawai Penjara. Di akhir hayatnya sebelum dibunuh, dia sempat menulis sepucuk surat cinta kepada gadis itu yang bertandatangan “Daripada Valentinemu”. Maka semenjak itu orang Kristian mengambil sempena hari 14 Februari untuk meraikan hari kasih sayang demi memperingati hari kematian paderi mereka, Valentine ini.

Jelaslah bahawa Sambutan Hari Kekasih ini merujuk kepada kisah tersebut dan sebagai seorang muslim yang mengaku beriman kepada Allah dan kerasulan Muhammad (Sallallāhu ‘alaihi wa sallam), wajarkah kita merayakan hari kekasih ini?, patutkah kita mengambil peristiwa ini untuk disambut dan diraikan?. Alangkah jahilnya kita sehingga tidak dapat lagi membezakan antara ajaran agama kita dengan agama lain. Benarlah kenyataan hadith daripada Abu Hurairah(radiallahu`anhu), bahawa Rasulullah (Sallallāhu ‘alaihi wa sallam) bersabda yang bermaksud:

“Demi Allah yang nyawaku di dalam genggaman-Nya, pasti kamu akan turut jejak langkah orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sedepa demi sedepa, sehingga kamu akan turuti mereka walaupun mereka masuk ke dalam lubang dhab. Lantaran itu, sahabat bertanya: “Adakah mereka itu Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [Al-Bukhari]

Apa yang lebih menyedihkan akibat dari merayakan sambutan hari-hari seperti ini remaja Islam semakin liar dan semakin ramai yang terjebak dengan gejala sosial serta keruntuhan moral. Rekod Jabatan Pendaftaran Negara bahawa sejak tahun 2000 hingga 2008 sebanyak 257,411 Sijil Kelahiran telah didaftarkan tanpa dicatatkan nama bapa. Rekod ini menggambarkan betapa ramai anak-anak yang tidak sah taraf atau lahir secara luar nikah untuk tempoh 9 tahun tersebut.

Jumlah yang begitu ramai untuk tempoh kurang 10 tahun ini sewajarnya mengundang rasa bimbang dan gerun dengan masa depan Generasi Islam. Jumlah itu membawa purata sebanyak 28,601 orang bayi setiap tahun. Sedarlah! segalanya ini bermula dengan gaya hidup barat yang songsang, yang telah diterima dalam masyarakat kita.

Justeru, setiap orang Islam khasnya golongan remaja seharusnya meninggalkan budaya “Hari Kekasih” yang hanya bertujuan merosakkan akhlak masyarakat Islam.  Ingatlah sesungguhnya Yahudi dan Nasrani akan terus berusaha sedaya-upaya untuk memperdaya umat  Islam supaya mengikut telunjuk dan kehendak mereka.  Pelbagai cara dan jalan yang mereka lakukan untuk merosakkan kepercayaan dan keperibadian umat Islam.

Malangnya, masih ada umat Islam yang tidak menyedari hakikat ini. Maka ,ramai dari kalangan umat Islam yang terikut-ikut dengan adat dan budaya serta cara hidup mereka. Kononnya, menurut peredaran zaman, sekalipun yang diikuti itu bertentangan dengan ajaran Islam dan budi pekerti mulia.  Harus diingat, meniru budaya asing, terutama dalam meraikan hari tertentu tanpa mengetahui latarbelakang perayaan itu, sebenarnya akan menjerumuskan umat Islam kepada kehancuran. Perkara seperti ini bukan sahaja menjejaskan akhlak umat Islam, bahkah boleh menjejaskan keimanan dan akidah mereka.

OIeh itu, sebagai umat Islam kita hendaklah mengikut landasan Islam yang sebenar.  Bukankah lebih baik kita mengamalkan adat dan budaya kita yang sopan selagi ia tidak bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam.

Marilah sama-sama kita renung beberapa perkara penting sebagai rumusan dan peringatan bagi kita semua, antaranya:

Pertama:   Hari kekasih adalah sambutan penganut Kristian yang mengenang hari kematian seorang paderi mereka. Tiada sambutan ini dalam ajaran Islam.

Kedua   :   Umat Islam adalah dilarang sama sekali menyambut Hari Kekasih ini, termasuklah memberi sokongan, mempromosikan, mengajarkan dan menyebarkan apa-apa sambutan yang berkaitan dengannya.

Ketiga   :    Umat Islam digalakkan berkasih sayang sesama manusia sepanjang masa tanpa membataskannya pada hari-hari tertentu sahaja.

Keempat   :   Pihak Media dan pengamal Laman Sosial adalah diminta untuk tidak mempromosikan Sambutan Hari Kekasih ini walau dalam apa bentuk sekalipun.

“Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepada engkau (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).  Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar. Sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepada engkau (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh daripada Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.  Orang yang Kami berikan kitab kepada mereka, sedangkan mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutar-belitkan maksudnya), mereka itulah orang yang beriman kepada-Nya dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang yang rugi”.

(Al-Baqarah, 2: 120-121)

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan umat Islam sebagai umat yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru itu, kami pohon kehadrat-Mu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,  suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujian-Mu yang berat seperti kemarau panjang, banjir besar, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

[Via JAIS; Khutbah Juma’at, Masjid Subang Jaya, 11 Februari 2011]

About Md Radzi Ahmad
A retired Malaysian civil servant. Served the Malaysian government for thirty-one years. Posted to London, Rangoon, Johannesburg, Pretoria and Bangkok. Born in Kampong Hutan Kandeh, Alor Star, Kedah. Educated at Sultan Abdul Hamid College, Alor Star and University of Malaya, Kuala Lumpur. Currently resides in Subang Jaya, Selangor Darul Ehsan,Malaysia.Blessed with three children, a son, two daughters, daughter in law and two grandaughters.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: