Sumpah Cara Islam: Wallahi, Wabillahi dan Watallahi

 

Mufti Perak Dato’ Seri Harussani Zakaria berkata, Anwar yang dihadapkan pertuduhan melakukan liwat,  tidak perlu bersumpah atau bermubahalah kerana ianya tidak menepati undang-undang Islam.

 

Ini kerana katanya, tuduhan yang dikenakan ke atas beliau oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah dakwaan jenayah yang termasuk dalam hukum kazaf.

 

“Kaedahnya dalam kes ini, ialah ‘orang yang menuduh mestilah mengemukakan bukti’ dalam mahkamah, jika dia gagal mengemukakan bukti, dia boleh dikenakan hukuman hudud.”

 

Mufti Perak itu turut memberi peringatan kepada umat Islam, khususnya orang-orang Melayu supaya tidak terikut-ikut dengan budaya agama lain yang bersumpah dengan kitab dan sebagainya.

 

“Tiada kaedah langsung kena sumpah dengan al-Quran, itu meniru budaya agama lain, sumpah yang ada dalam Islam cuma Wallahi, Wabillahi, Watallahi’,” tegasnya.

 

Menyuarakan pandangan yang sama, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Hashim Yahaya berkata, kes yang dituduh kes atas Anwar adalah yang membabitkan hukum kazaf, bukannya li’an.

 

“Sumpah hanya diterima dalam kes suami isteri atau li’an. Menyuruh tertuduh bersumpah dalam kes membabitkan kazaf menyalahi hukum syarak,” tegasnya ketika dihubungi.

 

Menurut beliau, masyarakat Islam tidak harus dikelirukan dengan gesaan bersumpah, kerana sumpah bukannya sesuai dalam semua perkara.

 

“Isunya tidak ada sumpah dalam bab kazaf, orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan,” tegas beliau.

 

©Harakah